Bagaimana Nak Ubati Sifat Iri Hati?

Bagaimana Nak ubati Sifat iri hati dan berdendam? Ia memang satu sifat terkeji dan wajib bagi kita menghindarinya. Namun bagaimana hendak menasihati seorang sahabat yang sikapnya asyik tidak puas hati terhadap orang lain. Tidak boleh lihat kelebihan orang lain pasti akan dicarinya kelemahan dan keburukan individu tersebut dan mula menyebarkannya kepada orang lain. Puas menasihatinya namun masih berdegil.

Sifat hasad dengki atau iri hati adalah sifat yang banyak membawa keburukan dan kemusnahan. Orang berpenyakit iri hati ini tidak suka melhat orang lain berjaya daripada dirinya, tidak kira dalam apa juga bidang. Dia akan berusaha sedaya upaya menjatuhkan atau menggagalkan orang yang lebih daripanya itu. Dia akan melakukannya sehingga berjaya, menjatuhkan atau menundukkan musuhnya, iaitu orang yang didengkinya.

Penyakit ini adalah sifat mazmumah yang boleh menjadi kayu bakar yang akan membakar (menghapuskan) amal-amal soleh seseorang. Sabda Rasulullah SAW: ‘Waspadalah terhadap hasad (iri dan dengki), sesungguhnya hasad mengikis pahala-pahala sebagaimana api memakan kayu.’ (Riwayat Abu Dawud)

Kaedah Ubati Hati

Terdapat beberapa kaedah yang dicadangkan oleh ulama untuk mengubati hati yang dipenuhi dengan sifat iri hati dan dengki ini, antaranya ialah:

Orang yang berhasad dengki perlu menyedari bahawa sifat hasad dengki hanya akan membahayakan dunia dan agamanya. Bahaya bagi agamanya kerana dengan hasad dengki dia akan menentang takdir Allah SWT dan menghapuskan amalan solehnya. Bahaya bagi dunianya, kerana hati orang yang hasad dengki akan merasa sakit apabila melihat orang yang didengkinya mendapat nikmat. Berusahalah untuk mencari ilmu yang boleh menerangi jalan kehidupan yang dapat mencegah daripada sifat keji ini.

Orang yang mempunyai perasaan iri hati dan dengki kepada orang lain, perlu segera bertaubat kepada Allah SWT kerana sifat keji ini akan mengekalkan pemilik sifat dengki ini di dalam dosa dan maksiat. Ketetapan takdir Allah SWT perlu diterima dengan lapang dada keraan setiap takdir yang ditentukan kepada hamba-hamba-Nya adalah yang terbaik untuk mereka.

Imam Ibnu Sina mengatakan:

‘Aku tidak pernah hasad kepada seorang pun dalam urusan dunia, kerana apabila ia ahli syurga, bagaimana mungkin aku hasad padanya dalam urusan dunia yang itu tidak ada nilainya di syurga nanti. Apabila ia termasuk ahli neraka, maka bagaimana mungkin pula aku hasad padanya dalam urusan dunia sedangkan dia akan masuk neraka?’

sumber : Tasawuf anis Mac 2014

Facebooktwittergoogle_plusredditpinterestlinkedinmail
Comments(2)
  1. mashy June 28, 2014
    • Admin June 28, 2014
Copy past blocker is powered by http://jaspreetchahal.org